Monday, October 31, 2011

22


Assalamualaikum



Sudah 22 tahun aku melekat di dalam jasad ini. Dan dalam tempoh tersebut ada beberapa kali aku meminta dimatikan. Tetapi persoalan bodoh sebegitu tetap akan dipertimbangkan bila mana aku merasa celaka sekali lagi. Sekarang, aku malu untuk meminta dihidupkan sedikit lama.


Dan lagi memalukan, muncul disini. Setelah sekian lama meninggalkan. Seperti mahu menulis perkara-perkara hebat lagi disini. Persoalannya, masihkah ada aku di hati mereka yang dulu?


Sekadar bertanyakan.



Tuesday, September 6, 2011

Aneh

Assalamualaikum


1 syawal


Cuaca disini tidak menentu. Tentunya ada saja manusia yang cuba menentukan menerusi ramalan dan dihebah-hebahkan. Sesekali hujan diselangi panas, ada ketika ribut angin menumbangkan segalanya yang tegak. Bahang malam memerah air tubuh dan pernah sekali dingin embun membekukan tulang. Perkara sebegini tidak sedikit mengganggu pemikiran dia yang terbaring kekeduan. Dia tahu bahawa dunia semakin hancur dan tidak dapat diselamatkan. Kurang-kurang, dia perlu memikirkan tentang dirinya yang separuh hancur.


Seminggu dia berkorbankan kehidupan untuk memberi kehidupan kepada orang lain sempena hari mulia. Cara dia membahagiakan persekitaran memang fenomena. Dia ada kekuatannya sendiri melihat langit yang cerah dibalik celahan kotak yang gelap dari dalam. Itu bukan motif dia menyuarakan kekesalan. Tetapi sebuah perkara yang dia malas fahami ; hati perempuan dan kebodohan lelaki. Dan tak semua keluhan itu untuk didengari kerana berkemungkinan salah faham menyelubungi hati-hati yang memerhatikan. Makanya tidak akan ada penulisan yang bermanfaat disini. Celaka bukan?


Bersaksikan langit yang tidak berbintang, dia simpan perasaan aneh ini didalam sebuah kotak hati yang berkuncikan perhatian.



Monday, August 29, 2011

Merdekaraya

Assalamualaikum




Pengkadaran kematangan yang sepatutnya seiring dengan nafsu sebenarnya tidak berlaku dalam diri dia yang terus menyibukkan diri dengan urusan-urusan yang tak perlu. Aidilfitri bakal menjelang dalam beberapa minit lagi dan apa yang dipersiapkannya sebenarnya mengarut. Broadband Maxis berkuota 6 Giga, External Hard Disk 500 Giga, boxer dan seluar pendek adalah perkara-perkara yang langsung tidak mencirikan pembelian sempena hari mulia.


Beliau yang menghabiskan waktu lapang dengan berpeleseran, melepak di kedai mamak dan tidur, nyaris membeli sebiji gitar tempoh hari berbanding baju Melayu. Dalam dirinya, Aidilfitri seolah tiada dan ianya sekadar angin lalu apabila beliau berkerja pada raya pertama, kedua dan seterusnya. Berlindung disebalik kesungguhan dan ketekunan dalam tanggungjawab, seolah dia melarikan diri dari kebahagian atau mungkin itu sebenarnya yang membahagiakan.


Selamat Merdekaraya semua.




Thursday, August 25, 2011

Camellia


Assalamualaikum




Dari pandangan binokular dia yang membaringkan diri di permaidani rumpun segar yang berbau kehijauan, bunga Camellia yang berwarna merah itu menjadi tumpuan sebuah layar permandangan. Berkanvaskan sinar mentari yang dibumbungi daun dan ranting yang menarikan silau, bunga tersebut mendetikkan suatu idea yang barangkali melengkungkan bibir dan menopengkan senyuman.


Bunga yang mekar itu tidak tersunting, meski merah menyalakan tarikan, ia tetap tak terusik. Ia mengaitkan tentang bunga yang selalu bertaman dihati. Pepatah bunga bukan sekuntum, menyedarkan mengapa bunga Camellia itu masih tersergam indah disitu. Ia bukan sekadar menanti dipetik, malah bersaing dengan beribu spesis bunga yang lain dan berjuta kuntum yang sama spesis dengannya.


Persaingan dalam kehidupan tak pernah senang, monolog dia yang masih lagi diperbaringan alam. Meskipun begitu, selaku kumbang, mengapa melepaskan bunga yang sekuntum itu sukar sedangkan berjuta lagi menanti dipetik. Senyuman tadi melepaskan gelak kecil yang terlucu dengan kebodohan hati-hati yang kucar. Gelak kecil tadi perlahan-lahan hilang dari sunyi dibawah rimbunan pokok-pokok bunga.


Dia terfikir sejenak. Dalam-dalam dia renangi pemikiran yang diterbitkan tadi. Dan dia nampak diri sendiri.



Saturday, August 20, 2011

Waiting


Assalamualaikum



Dia duduk berteleku di depan tangga sambil bertemankan limpahan malap-malap cahaya dan beralaskan konkrit yang dipenuhi tumbuhan menjalar dan lumut. Melangut menyaksikan langit yang kian menyinsingkan jingganya ke sebuah layar kegelapan dan dihiasi butir-butir bintang, dia berkatakan sesuatu kepada yang tidak kelihatan. Dengan memalatkan senyuman dan disertai nada herdikan seraya mempersoalkan.


Mengapa tuhan memaksikan segalanya dengan matahari sedangkan hati dan perasaan itu selalu berlanggar-langgar di dalam? Mengapa laju cahaya menandingi segala degup-degup nadi tetapi tidak satu cahaya pun menerangi kelam? Bagaimana lautan sentiasa bergelora sedangkan di dasarnya tidak ada peperangan? Apakah perlu menaikkan semangat untuk berketerusan sedangkan graviti sudah pasti menarik semuanya ke bawah?


Persoalan yang menyenggama seperti itu berpotensi memesongkan mana-mana kelajuan yang lurus. Dan dia terus mempersoalkan dalam sebuah pengisian penantian. Sebenarnya, penantian yang tenang adalah di balik pintu. Tersandar kekenyangan di perbaringan menanti pintu diketuk seperti kuatnya dentuman yang pernah mengejutkan. Berteleku di larian anak tangga dalam keadaan bersedia mampu mengusutkan pemikiran.


Seperti persoalan-persoalan tadi.




Thursday, August 18, 2011

Curiousity


Assalamualaikum




Sebuah huluran ditertibkan dengan sempurna dan disambut kemas gadis yang berkesudian ke atas pemberian yang tak seberapa itu. Matahari mencahayakan sinar yang menyilaukan bumi dan langit tersipu membirukan diri. Air tasik berdekatan bergelinang dan membunyikan melodi yang sedikit mengusik. Suasana riuh alam betul-betul memberuskan pipi mulus gadis dengan warna kemerahan yang paling lembut.


Ia sekadar serpihan-serpihan hati yang pelekatnya masih belum kering. Pernah berkecai bertaburan suatu masa dulu dan dikutip semula untuk dihadiahkan sekali lagi. Sifat ingin tahu gadis tentang isi kandungan pemberian tersebut bagai tsunami yang menghempas. Digoncang-goncangkannya untuk menggambarkan bunyi yang menghentak dinding kekotak tanpa membaca perkataan fragile yang tertera dibawahnya.


Setelah dibuka, gadis hampa dan kecewa dengan serpihan yang bertaburan di dalam kotak. Gadis tidak pernah tahu yang sewaktu diterimanya ia sebuah hati yang berbentuk keikhlasan. Dan tak semena mengheret langit mendung dan awam hitam lantas membalut sinar matahari. Air tasik berdekatan pula membeku dengan sifat dingin gadis. Sebenarnya ada perkara yang patut diserahkan kepada masa untuk sebuah kebenaran.




 

Direkabentuk Khas untuk Encik Psychopath