Friday, July 29, 2011

Palat

Assalamualaikum





Pagi yang menyenangkan. Kicauan burung menjadi latar suara memecah sunyi. Senyuman sedikit terukir. Diselongkarnya peti surat untuk mencari surat tawaran kerja yang pernah dimohon ketika berkunjung di Job Fair dahulu. Hampa. Tiada satu kerja pun yang sangkut.


Tengahari yang terik terus membakar kulit dan air-air keringat mengalir keluar membasahi badan untuk menyejukkan. Ketika setiap lontaran joran yang dihalakan jauh ke tengah kolam itu dilepaskan dengan umpanan terbaik hasil bancuhan. Namun tiada seekor ikan pun yang sangkut.


Malam yang penuh warna kerdipan cahaya sebuah pesta, di bawah sebuah khemah hiburan. Berpuluh ringgit dihabiskan untuk sebuah permainan menyangkutkan gegelung ke sebatang rod besi. Setiap gelung dibaling satu persatu dengan tekun. Namun tiada segelung pun yang sangkut.


Senyuman malas-malas dilemparkan. Komputer riba dihidupkan dan jalur lebar tersambung secara automatik. Laman web kemasukan ijazah sarjana muda sudah sudah menghebahkan keputusan dan mula semak. Senyuman yang malas itu langsung menjadi kelat. Tiada satu pun Universiti yang sangkut.


Ketika satu persatu kegagalan datang secara berturutan, aku mula merasakan hidup aku semakin palat.

15 Julai 2011

****


Sebuah nota di dalam longgokan Notepad yang hampir setiap hari aku hamburkan kata-kata berbentuk pujian, kesyukuran, makian, herdikan terhadap tuhan, baris-baris mempersoalkan tentang kehidupan dan sebagainya. Dan aku tahu, pada saat itu, aku menjadi manusia paling patah semangat. Mujur aku memiliki kawan yang memapah aku disebelah kanan dan seorang lagi menggenggam tapak tangan kiri aku sambil membisikkan definisi rezeki dari perspektif tuhan.

Monday, July 25, 2011

Rangga


Assalamualaikum

goodtimes


Sedang ralit Rangga dibuai mimpi, beliau seakan tersentak dari lamunan ekoran desir-desir angin pantai yang memukul. Rangga perasan setitik air di mata sebelah kiri menitiskan air kejantanan, lalu dibiarkan. Rangga benar-benar nekad mahu dihanyutkan sekali lagi dengan kelaraan seperti hari-hari semalam.


Tentang cinta. Dahulunya sebuah perasaan yang dilambung-lambung, sentiasa rasa terbuai, selesa dalam dakapan suam. Kini menjadi igauan yang meracau minda, menyenggama setiap pelosok hati retak dan mengoyakkan kulit-kulit memori. Rangga sehabis upaya menulis sejuta puisi, membina figura jambatan hati, mencoret sesuatu yang manis-manis di dalam memori. Nyata sia-sia.


Bunga bukan lagi seorang pejuang. Beliau tewas dan tidak lagi menjadi seorang yang berani. Bunga dan Rangga pernah menjadi sepasukan dalam pakatan hati, berjuang untuk kekal hidup hingga mati. Mengimbau saat bersama, Rangga masih terbayang saat Bunga gigih dalam senyuman mempertahan, Rangga pula terus-terusan menyelindung di balik dinding keegoan. Lewat.


Terkadang, kita tidak terlihatkan perkara dihadapan mata. Sebuah rasa sayang yang seharusnya kita jaga, kita palitkan semua dengan kata-kata tidak adil, menyembunyikan hati perut untuk mempertimbangkan dan memberi sedikit muka. Jangan rasa terbunuh dalam keselesaan. Usahkan rasa terbodoh dalam melayan perasaan. Dalam perjuangan, teorinya tiada berpenghujung. Jika kita berjuang untuk mendapatkan, kita juga perlu bersedia mempertahankan.


Kata orang hidup ini hanya sepeluang untuk berjumpa dengan orang yang benar-benar menyayangi kita. Terkadang kelekaan itulah yang menerbitkan kehilangan selama-lamanya. Disaat kita kehilangan, barulah kita terasa berapa berkepentingan insan yang pernah berada disisi kita. Mereka sangat bermakna. Sekaligus menjadikan kita insan yang tersilap.


*****

Sebuah cerpen pendek dedikasi yang penuh di minda penulis yang terlalu kuat berfantasi. Pernah diterbitkan di sebuah diari seorang kawan.



Wednesday, July 20, 2011

Abah


Assalamualaikum




Karya asal: Syamimi Ibrahim
Suntingan : Encik Psychopath


Aku selalu merasakan Abah tidak serupa dengan yang lain. Beliau serius, tak tertawa mahupun senyum sekalipun apabila aku atau adik berjenaka. Berkelakuan pelik. Gemar menukar saluran televisyen tatkala aku, adik dan ibu sedang menonton drama Melayu. Beliau juga sering mengganggu aku ketika online, seolah Abah tidak suka dan sayang aku. Bermula seusia dua belas tahun, Abah acapkali baran apabila beliau mengetahui aku berlatih teater di sekolah. Beliau juga hanya menghulurkan sepuluh ringgit setiap kali melawat aku di kolej. Berhenti kerja dan membiarkan aku seorang diri menyara keluarga?


Terkadang aku terfikir, barangkali Abah pernah menyayangi aku apabila beliau membelikan kereta kecil supaya aku tidak lagi kesukaran berdiri sepanjang hari di dalam tren. Beliau pernah datang dari jauh semata menonton aku di pentas teater. Pernah juga beliau meminta supaya ibu menemankan aku dari sendirian. Dalam keterpaksaan, Abah mengizinkan aku berjimba bersama rakan-rakan walaupun beliau keseorangan di rumah. Yang paling terkesan, Abah tidak putus-putus mengingatkan aku tentang solat dan Quran. Dengan melemparkan senyuman sinis, Abah menolak hadiah jam tangan Tag Heuer pemberian aku sempena Hari Bapa seraya berkata;


"Doa anak yang soleh adalah hadiah terbaik untuk Abah"


"Ya Allah ya tuhanku. Ampunkanlah dosa kedua orang tuaku. Berkatilah kedua mereka itu. Sihatkanlah mereka, murahkanlah rezeki mereka, panjangkanlah usia mereka. Jauhilah mereka dari sebarang bahaya dan lindungilah mereka. Amin"


******


Syamimi Ibrahim, seorang gadis kecil yang mencintai seni penulisan, musik dan pementasan. Bergerak secara indie dalam kehidupan seharian dan mengabadikan karya di sesawang Signed, Sealed and Delivered. Penulis yang memenangi sebuah peraduan penulisan di blog ini suatu ketika dahulu dan seorang kawan yang bukan asing.



Friday, July 15, 2011

Rejection

Assalamualaikum



Penulis: Farhanah Ahmad


Dalam banyak-banyak hal, berasa kecewa dan mengecewakan hati boleh jadi perkara yang paling cukup aku benci. Cukup bersedih aku jika dikecewakan tanpa belas. Aku juga punya kefahaman yang tinggi dengan mereka-mereka yang turut dikecewakan ini. Sayang sungguh rasanya kala terpaksa mengatakan tidak kepada mereka-mereka yang cukup menghargai aku.


Iya, aku gelarkan mereka yang tanamkan rasa cinta itu sebagai orang yang menghargai rasa hatinya kepada orang lain. Dan, aku hargai mereka-mereka yang ini. Tapi, tahukah kau kawan, menghargai itu belum tentu memenuhi. Aku hargai, tapi mana mungkin dipaksa hati, kalau jiwa langsung tidak sedetik merindui!


Pabila diucap kata sayang, aku tersenyum. Pabila diucap kata rindu, aku senyum terharu. Pabila diucap kata cinta, aku senyum kelam. Hati aku ini diajar untuk cukup menerima ikatan kawan. Namun, tidak pada cinta. Tapi, melukakan itu adalah antara hal yang paling aku takuti. Jika, kau sendiri takut dan untuk dilukai, sebegitu juga halnya di sini. Jadi, bagaimana cara untuk menolak huluran sekeping hati?


****

Farhanah Ahmad, seorang penulis blog yang aktif yang menulis perenggan-perenggan kehidupan dan giat bermonolog di teratak Monologis Tahap Tinggi milik beliau. Ini merupakan karya beliau yang diterbitkan secara ekslusif di blog Encik Psychopath.



Saturday, July 9, 2011

Patah Tumbuh Hilang Berganti

Assalamualaikum



Hari itu aku jatuh cinta dengan seorang perempuan asing. Perempuan yang berkesudian, perempuan yang aku kira mungkin cukup sempurna di mata aku. Dalam cinta desakan hati yang berkehendakan kasih sayang dan saling mencuba malah meletak kepercayaan antara satu sama lain, aku juga mengimpikan sebuah harapan untuk hidup dan tua bersama. Matahari ketika itu sinis menyinari pagi manakala bulan tersipu menerangi malam. Bintang pula berkerdipan menghiasi gelap langit.


Namun masa silih berganti. Menggantikan juga segala yang ada di dunia. Ketika daun-daun gugur digantikan musim luruh, manakala reptilia menggantikan kulit usang di waktu-waktu tertentu seiring dengan deras ombak pantai yang menghempas lantas menggantikan pasir-pasir pantai. Hebat sungguh fenomena perubahan masa, hebat lagi perumpamaan yang diberikan. Eceh. Ok sambung. Tiada apa yang tertinggal dalam proses ini termasuk hati, perkara-perkara manis dan kepercayaan.


Masa berlalu. Hati bergerak melulu. Fokus perkara-perkara rawak dihadapan tanpa menoleh. Lupa sakit hati yang tertoreh. Jiwa terkejarkan bahagia dunia tatkala hidup persis najis. Berlari tanpa mengenal erti penat. Kencang. Sehingga terlupa hidup ini ada perhentian. Perhentian dimanfaatkan sebaik mungkin. Tempat menghelakan nafas panjang untuk siap berlari kembali. Perkara biasa, manusia ada ralat dan mudah hilang kawalan. Sehinggalah bahu ini berlaga dengan sebuah bahu yang lain.


Mata bertentang mata.


Musim luruh pun berlalu ke musim bunga tanpa menyedari musim sejuk yang berlangsung dengan pantas. Segala reptilia bergembira menggayakan kulit baru manakala ombak di pantai tidak lagi kelihatan susulan air laut surut.


Senyum.



Amaran : Usah percaya, ini ialah fantasi. Mencandu cinta hingga terlentok. Mengantok.



Saturday, July 2, 2011

Kesayangan


Assalamualaikum

Port Dickson


Lelaki gempal. Fizikalnya tampak tegap dan keras. Dari jauh kelihatan seolah bapa seseorang. Rambut belah tepi disisipkan ke sebelah kanan dan tidak pernah bersikat. Sekadar disisip menggunakan jari setiap hari selepas mandi. Acapkali kelihatan setia bersama seluar pendek hitam dan digayakan dengan berbagai jersey bola sepak pelbagai kelab. Jiwanya bola tak semena. Sembangnya tidak lekang tanpa gosip dan isu semasa pasukan kegemaran. Setidak-tidak, jiwanya tak tumpah seperti lelaki kebanyakan.


Punyai kegusaran yang sedikit pelik. Tatkala ketandusan wang, beliau berkeinginan itu dan ini. Nafsu yang bermacam. Sedang bergaji di hujung bulan, tidak tahu untuk membelanjakan. Dihabiskan sahaja dengan makanan, hiburan dan dipinjamkan. Itu memang lemah beliau, gagal merancang pengaliran kewangan berkesan. Sekadar bekas pelajar kejuruteraan yang bekerja di sektor pembuatan makanan. Apalah yang difikirkan beliau. Hanya menghabiskan sehari-hari memasak beratus Grilled Chiken Burger untuk pelanggan.


Beliau tidak mahu dijanjikan selamanya, kerana beliau tidak selamanya ada. Beliau tidak juga minta dipeluk, dicium dan dimanja selalu. Kerana beliau sendiri menagih kasih sayang yang tidak pernah datang kunjung. Itu perkara biasa dihadap, bukan simpati dicari, bukan iri hati yang di cermin. Cumanya beliau hanya meminta, mungkin kepada yang Esa. Atau sesiapa yang punya kuasa yang sememang tidak lebih dari Dia. Semoga hidup ini tidak diambil atau dipisahkan dengan mereka-mereka yang kini sangat menyenangkan.


Dedikasi untuk seluruh seperjuangan sepencarian rezeki.



 

Direkabentuk Khas untuk Encik Psychopath